search
menu

Amaran Penipuan: Taktik Biasa dan Tanda Amaran Penting untuk Semua Pengguna

dikemaskini 2025-08-06 14:20:33

Penipuan dalam talian kini semakin canggih, mensasarkan mangsa melalui emel, laman web palsu, pasaran dalam talian, platform sosial, malah aplikasi temu janji. Di SEAGM, kami percaya kesedaran adalah pertahanan terbaik anda. Berikut adalah penerangan mengenai taktik penipuan biasa, contoh situasi sebenar, dan petua mudah untuk membantu anda kekal selamat.

 

🚨Taktik Penipuan Biasa

1. Emel atau Mesej Pancingan Data (Phishing)

Penipu akan menghantar mesej mendesak dengan menyamar sebagai syarikat yang dipercayai, bertujuan memerangkap anda supaya mengklik pautan berbahaya atau memberikan maklumat peribadi.

🔍Contoh:

Subjek: Urgent: Akaun anda telah dikunci!

Pengguna yang dihormati,

Disebabkan aktiviti yang mencurigakan, akaun anda telah dikunci buat sementara waktu. Untuk memulihkan akses, sila sahkan identiti anda dengan segera dengan mengklik pautan di bawah:
[Pautan Palsu]

💡Tip: Pastikan anda sentiasa menyemak alamat laman web dengan teliti dan cari ikon kunci🔒keselamatan pada bar pelayar sebelum memasukkan maklumat peribadi atau sensitif.

 

2. Laman Web Palsu

Penipu sering mencipta laman web yang hampir menyerupai laman rasmi termasuk laman perbankan dan kedai dalam talian popular. Alamat URL laman palsu ini mungkin hanya berbeza satu huruf atau simbol, menjadikannya mudah terlepas pandang. Tujuan utama laman ini adalah untuk mencuri maklumat log masuk atau butiran pembayaran anda.

🔍 Contoh:

💡Tip: Sentiasa semak alamat laman web dan cari ikon kunci🔒di bar penyemak imbas sebelum memasukkan sebarang maklumat sensitif.

 

3. Penipuan Beli-belah Dalam Talian

Penipuan ini sering muncul di media sosial atau pasaran dalam talian, di mana penipu menawarkan item permintaan tinggi seperti tiket konsert, elektronik atau barang koleksi yang jarang ditemui pada harga yang amat rendah [Luarbiasa]. Mereka mungkin menimbulkan rasa tergesa-gesa, mendakwa mereka perlu menjual dengan cepat kerana kecemasan dan mendesak pembayaran melalui kaedah yang tidak dapat dikesan. Sebaik sahaja anda membayar, barang tidak pernah sampai.

🔍 Contoh:

Anda terlihat satu notis di Facebook yang menawarkan tiket konsert ABC pada separuh harga asal. Penjual menyatakan bahawa mereka mengalami kecemasan saat akhir dan tidak dapat menghadiri konsert tersebut. Untuk mempercepatkan urusan, mereka meminta bayaran sebanyak $200 melalui kad hadiah mata wang kripto. Kerana ingin bertindak segera, anda membeli kad hadiah tersebut daripada SEAGM dan menghantar PIN kepada mereka.

Selepas itu? Senyap. Penjual tidak lagi membalas mesej, memadam akaun mereka, dan tiket tidak pernah diterima. Tanpa sebarang cara untuk menjejak kad hadiah tersebut atau mendapatkan bayaran balik, wang anda hilang begitu sahaja.

💡Tip: Elakkan membeli barangan bernilai tinggi daripada individu yang tidak dikenali di media sosial. Gunakan platform yang sah dan kaedah pembayaran yang boleh dikesan.

 

4. Penipuan Penyamar

Penipu menyamar sebagai pegawai berkuasa rasmi seperti anggota polis, kakitangan bank, atau wakil syarikat, dan memberi tekanan agar anda menyerahkan wang atau maklumat peribadi. Mereka sering menggunakan lencana palsu, ID pemanggil, atau emel yang tidak asli.

🔍 Contoh:

Situasi 1:

Anda menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa dirinya daripada jabatan penipuan bank anda. Mereka mengatakan akaun anda telah terjejas dan menggesa anda memindahkan dana dengan segera ke akaun "selamat". Mereka mungkin tahu beberapa butiran anda. Pada hakikatnya, ia adalah penipu, dan sebaik sahaja anda memindahkan wang, wang itu hilang.

Situasi 2: 

Anda menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku dirinya sebagai pegawai polis tempatan. Mereka mengatakan bahawa terdapat waran untuk penahanan anda disebabkan denda yang belum dibayar atau langgar lari melibatkan kenderaan anda. Untuk "menyelesaikan perkara itu dengan cepat," mereka menuntut pembayaran segera melalui kad hadiah prabayar atau pindahan wang bank, dan memberi amaran bahawa jika anda enggan mematuhi atau memberitahu sesiapa, anda akan menghadapi penangkapan serta-merta.

Panik dan tidak pasti, anda mengikut arahan mereka, tetapi kemudian menyedari ia adalah satu penipuan. Pemanggil tidak mempunyai hubungan dengan penguatkuasaan undang-undang, dan nombor telefon yang mereka gunakan adalah palsu, menjadikannya mustahil untuk dikesan.

💡Tip: Sentiasa sahkan maklumat sebelum bertindak. Tamatkan panggilan dan hubungi organisasi atau syarikat melalui nombor rasmi, atau hadirkan diri ke pejabat terdekat.

 

5. Penipuan Cinta

Penipu mencipta hubungan dalam talian palsu untuk mendapatkan kepercayaan anda, kemudian mengeksploitasi kepercayaan itu dengan meminta wang, sering kali dengan alasan kecemasan seperti bil perubatan, kos perjalanan, atau keperluan mendesak lain.

🔍 Contoh:

Anda bertemu seseorang di aplikasi temu janji yang dengan sangat pantas menunjukkan perasaan mendalam dan bercakap tentang masa depan bersama, walaupun baru sahaja berkenalan. Tidak lama kemudian, dia [penipu] mengadu bahawa dia sedang mengalami masalah besar seperti terperangkap di luar negara dan memerlukan wang segera untuk membeli tiket penerbangan pulang, menyelesaikan isu undang-undang, menanggung kos pembedahan kecemasan, atau menempah penerbangan untuk melawat anda. Dalam permintaan dia, dia sering meminta supaya wang dihantar dalam bentuk kad hadiah digital seperti RazerGold, mata wang kripto, atau bentuk lain yang sukar dijejaki.

Setelah wang dihantar, individu tersebut biasanya akan hilang tanpa khabar, atau terus mendesak untuk wang tambahan dengan alasan baru pula.

💡Tip:  Sentiasa berwaspada sebelum menghantar wang kepada seseorang yang anda belum pernah temui secara bersemuka, walaupun cerita mereka nampak meyakinkan atau mendesak.

 

6. “Pig Butchering” / Penipuan Pelaburan

Penipuan ini menjanjikan pulangan tinggi yang dijamin tanpa risiko. Penipu akan memujuk anda untuk melabur dalam mata wang kripto palsu atau platform perdagangan yang tidak wujud. Anda akan digalakkan untuk melabur semakin banyak sehingga penipu akhirnya hilang bersama wang anda.

🔍 Contoh:

Anda berhubung dengan seseorang di WhatsApp yang mendakwa dirinya seorang pemain mata wang kripto yang berjaya. Mereka membawa anda ke laman web perdagangan yang kelihatan profesional dan memberitahu anda perlu “top up” akaun perdagangan menggunakan kad hadiah seperti RazerGold.

Anda membeli kad hadiah bernilai $200 dari SEAGM dan menghantar kodnya kepada mereka. Akaun anda kelihatan bertambah nilai [keuntungan palsu] dan anda terus menghantar lebih banyak kad hadiah. Akhirnya, platform tersebut mengunci akaun anda dan “mentor” anda pula memblok anda.

💡Tip: Pelaburan yang sah tidak akan melibatkan penggunaan kad hadiah atau janji pulangan yang dijamin.
Klaim seperti “pulangan dijamin” atau “tanpa risiko” merupakan tanda amaran klasik penipuan.

 

7. Penipuan Pekerjaan

Penipu pekerjaan semakin licik dengan menawarkan kerja jarak jauh bergaji tinggi dan mudah demi memancing mangsa. Selepas mendapat kepercayaan anda, mereka akan meminta bayaran pendahuluan atau maklumat peribadi yang boleh membawa kepada kerugian kewangan dan risiko keselamatan identiti.

🔍 Contoh:

Situasi 1:

Anda menerima tawaran kerja untuk bekerja sebagai pembantu peribadi atas talian [work from home] kepada CEO, dengan gaji $8,000 sebulan. Ia kelihatan seperti pekerjaan impian. Untuk minggu pertama, anda menjalankan tugas mudah dan berkomunikasi dengan kerap dengan "bos" anda. Kemudian, mereka menyebut bahawa makan malam tahunan syarikat akan datang dan meminta anda membeli kad hadiah digital dengan cepat untuk segmen cabutan bertuah, menekankan keperluan mendesak dan profesionalisme. Mereka memberi jaminan bahawa kos akan dibayar balik sepenuhnya sekali dengan gaji pertama anda.

Mempercayai proses itu, anda membeli kad hadiah dan menghantar PIN kepada mereka. Tetapi tidak lama selepas itu, "bos" anda hilang. Kerja itu palsu, dan wang anda hilang.

Situasi 2:

Anda mendapat tawaran kerja pentadbir atas talian, bergaji tinggi daripada syarikat yang kelihatan sah dalam talian. Selepas temu bual sembang pantas, anda diupah serta-merta. Kemudian, mereka meminta anda membeli applikasi kerja daripada "penjual sah" mereka menggunakan kad hadiah prabayar yang dibeli melalui platform seperti SEAGM, menjanjikan pembayaran balik dalam gaji pertama anda. Tanpa tunggu, anda membeli dan menghantar kod, tetapi komunikasi pudar, dan pembayaran tidak sampai. Kemudian, anda mendapati syarikat itu palsu, baki kad hadiah hilang dan maklumat peribadi anda kini berisiko disalahgunakan.

💡Tip: Penipu sering membina kepercayaan sebelum meminta perkara luar biasa seperti kad hadiah atau pemindahan wang. Sentiasa sahkan butiran syarikat, pastikan kontrak pekerjaan sah, dan jangan bayar perbelanjaan syarikat dengan wang sendiri, terutama jika belum pernah bertemu majikan secara bersemuka.

 

🚩 Beberapa Tanda Amaran Penipuan

  • Permintaan pembayaran melalui kaedah yang sukar dijejak

  • Rasa tergesa-gesa atau ugutan untuk bertindak segera

  • Permintaan maklumat peribadi atau kewangan secara berlebihan

  • Tawaran yang kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan

  • Arahan untuk menyimpan perkara tersebut secara rahsia

  • Kekurangan maklumat yang boleh disahkan tentang syarikat atau individu

  • Terlalu banyak pujian atau cubaan manipulasi emosi

💡 Tip: Jika timbul keraguan, jangan panik. Ambil masa untuk berfikir. Sahkan maklumat melalui sumber yang dipercayai sebelum membuat apa-apa keputusan. Sentiasa elakkan daripada menghantar wang atau berkongsi maklumat peribadi tanpa pengesahan penuh.
Utamakan keselamatan diri anda pada setiap masa.


✅Sentiasa kekal selamat dan bijak

  • Berhenti: Jangan bertindak secara terburu-buru atau impulsif apabila menerima permintaan mendesak. Luangkan sedikit masa untuk menarik nafas dan berfikir secara rasional sebelum memberi sebarang tindak balas.

  • Sahkan: Sentiasa pastikan kesahihan mesej yang diterima dengan menghubungi syarikat atau pihak berkuasa melalui saluran rasmi yang sah. Elakkan mengklik pautan atau memberikan maklumat peribadi tanpa pengesahan terlebih dahulu.

  • Lindungi: Pastikan keselamatan akaun anda dengan menukar kata laluan secara berkala, mengaktifkan pengesahan dua faktor (2FA), serta memantau aktiviti luar biasa atau mencurigakan secara konsisten bagi mengelakkan sebarang ancaman keselamatan.

 

Jika anda berasa ragu-ragu atau mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, sila hubungi kami pada bila-bila masa melalui LiveChat. Kami sentiasa bersedia untuk membantu anda. Keselamatan anda adalah keutamaan kami.

Terima kasih.

Lawati laman Sokongan SEAGM untuk mendapatkan jawapan dan panduan pantas.

Perlukan sokongan? Hubungi Perkhidmatan Pelanggan kami melalui  LiveChat .

Adakah artikel ini membantu?

Yes
No
0 out of 0 found this helpful

Lebih banyak panduan berkaitan